SEREMBAN – Polis hampir melengkapkan siasatan kes penemuan mayat wanita dalam beg yang ditanam di belakang sebuah rumah di Batu 4, Pedas, Rembau.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, siasatan kini berada di peringkat akhir dan pihaknya sedang mempercepatkan proses tersebut sebelum dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri bagi mendapatkan arahan selanjutnya.
“Semalam, suspek dibawa ke beberapa lokasi, namun tiada barangan dirampas,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, tiada tangkapan lain dibuat setakat ini dan proses padanan asid deoksiribonukleik (DNA) dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan sebelum keputusan diperoleh.
“Walaupun masih menunggu pengesahan DNA, polis cuba meneruskan pendakwaan walaupun statusnya masih ‘unknown’. Keputusan DNA ini penting bagi tujuan pertuduhan dan perjalanan kes di samping mengambil kira hasil siasatan dan keterangan saksi,” katanya.
Setakat ini polis menahan dua lelaki berusia 41 tahun pada pukul 2.30 petang, Khamis lalu di Melaka dan suspek utama berusia 51 tahun yang ditangkap di Genting Sempah, Pahang pada Jumaat lalu.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan mayat wanita yang ditemukan di sebuah rumah kosong di Rembau pada Khamis lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan Orang Hilang dikenali sebagai Suri, 53, yang dilaporkan di Ampang, Selangor pada 15 Disember lalu.- KOSMO! ONLINE














