KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan kompaun dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melibatkan pelbagai kesalahan semasa pelaksanaan Ops Anti-Litter di sekitar Jalan Ampang dan kawasan sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini baru-baru ini.
DBKL dalam satu hantaran di Facebook berkata, operasi itu dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan kebersihan serta kesejahteraan persekitaran bandar sentiasa terpelihara.
“Sepanjang operasi penguatkuasaan ini dijalankan, sebanyak lapan kompaun telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiga kompaun di bawah Seksyen 46(1)(d) kerana meletakkan barangan berkaitan aktiviti perniagaan di tempat awam serta lima kompaun di bawah Seksyen 47(1)(a) kerana perbuatan membuang dan meninggalkan sampah di kawasan awam,” katanya di sini hari ini.
Katanya, di samping penguatkuasaan, penekanan turut diberikan kepada aspek kesedaran awam melalui penyampaian maklumat dan peringatan berkaitan pematuhan peraturan kebersihan, khususnya melibatkan pengurusan sampah, penggunaan kemudahan awam serta larangan menghalang longkang dan laluan pejalan kaki.
“Pelaksanaan operasi ini merupakan sebahagian daripada langkah berterusan DBKL dalam memastikan persekitaran bandar kekal bersih, teratur dan kondusif demi keselesaan serta kesejahteraan warga Kuala Lumpur,” katanya. – KOSMO! ONLINE














