MELAKA – Seorang wanita menangis teresak-esak selepas suaminya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, Julai lalu.
Tertuduh, Muhammad Farid Isham, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus bertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun kira-kira pukul 2 petang, di tepi lorong berdekatan rumah di Pengkalan Rama Pantai, dalam daerah Melaka Tengah, 2 Julai 2025.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM30,000 dikenakan dengan syarat tambahan tertuduh dilarang menggangu mangsa serta keluarganya dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Peguam Amritpal Singh bagaimanapun merayu jaminan rendah dapat diberikan dengan alasan tertuduh hanya bekerja di sebuah kilang dan baru sahaja berkahwin selain merupakan penyara tunggal keluarga.
Difahamkan tertuduh dan pasangannya baru sahaja mendirikan rumah tangga pada Ogos lalu dan kejadian berlaku sebulan sebelum perkahwinan mereka.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000.
Tertuduh bagaimanapun tiba-tiba bersuara meminta jumlah itu dikurangkan sebelum menangis di dalam kandang tertuduh. Isteri tertuduh yang berada di ruang galeri awam turut tidak dapat mengawal emosi dan menangis teresak-esak.
Amritpal kemudian memberitahu mahkamah bahawa isteri tertuduh hanya membawa wang sebanyak RM4,000 untuk jaminan.
Raja Noor Adilla kemudian mengurangkan jaminan itu kepada RM8,000 serta bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pendakwaan selain memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. – KOSMO! ONLINE














