SEBERANG PERAI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sentiasa mendoakan agar Datuk Seri Najib Razak, yang telah dipenjarakan sejak tiga tahun lalu, diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, semua pihak perlu mengakui hakikat bahawa bekas Perdana Menteri itu telah menjalani hukuman penjara dalam tempoh yang lama.
“Saya dan kita semua tidak sanggup melihat Datuk Seri Najib terus meringkuk di dalam penjara. Namun, kuasa mutlak untuk memberi pengampunan adalah hak Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan ia tidak seharusnya dipertikaikan.
“Benar kita berdoa, benar kita mengharap, tetapi jangan mendesak atau memberi tekanan kepada Seri Paduka Baginda. Baginda tahu bila masa yang sesuai untuk membuat keputusan dan apa yang perlu dilakukan,” katanya ketika berucap sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Parti Makkal Sakti ke-17, di Seberang Jaya di sini, hari ini.
Zahid yang menyifatkan dirinya sebagai sahabat sejati kepada Najib berkata, beliau akan terus bersemangat memperjuangkan nasib bekas Perdana Menteri keenam itu.
Mahkamah Tinggi esok dijangka memutuskan sama ada Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah atau kekal di Penjara Kajang. – KOSMO! ONLINE














