RUANG seni pameran Blank Canvas yang terletak di Pulau Pinang dengan bangganya mempersembahkan pameran solo pertama artis berpangkalan di Hong Kong, Sim Chan di Malaysia menerusi sebuah pameran bertajuk The Infinite-land (Penang).
Berlangsung 6 sehingga 29 Disember ini, pameran tersebut menandakan pengembangan terbaharu siri Infinite-land yang pernah tular di Tainan, China tahun lalu, memikat khalayak dengan dunia miniatur yang direka secara terperinci bagi meneroka pelbagai tema dalam masyarakat moden.
Disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Sim Chan turut menghasilkan karya-karya baharu yang eksklusif, dipengaruhi oleh budaya Malaysia serta konteks tempatan.
Menurut Sim Chan, dia teruja apabila berpeluang mempersembahkan karya yang dekat dengan penduduk setempat.
“Saya berasa teruja apabila dapat mempersembahkan karya yang saya hasilkan.
“Saya berharap pengunjung khususnya, warga Pulau Pinang dapat mengenali elemen-elemen yang biasa ditemui dalam kehidupan seharian mereka menerusi pameran ini,” katanya.
Sepanjang proses persiapan pameran tersebut, artis berbakat besar itu turut mendapatkan bantuan penduduk tempatan bagi menyempurnakan beberapa elemen karya, menjadikan pameran ini berbeza dan lebih istimewa berbanding edisi terdahulu.

Kurator pameran, Kobe Ko menjelaskan konsep teras The Infinite-land (Penang) sebagai sebuah dunia miniatur yang berfungsi seperti taman tema imaginasi.
“Setiap karya membentuk sebuah alam kecil yang digabungkan menjadi landskap mimpi, menyerupai dunia yang kita diami.
“Melalui pendekatan yang ringan dan bersifat bermain, Sim Chan mengajak pengunjung untuk merenung semula rutin harian mereka sendiri,” katanya.
Pameran itu disusun menerusi tiga siri utama. In Endlessness menampilkan arca cahaya tiga dimensi yang membawa penonton ke dalam dunia kotak cerita miniatur, menggunakan perspektif cermin dan ketelitian kerja tangan untuk mencipta ilusi tanpa penghujung.
Siri Wandering pula merupakan instalasi cahaya bergerak yang merentasi ruang galeri, menggambarkan pergerakan bandar yang berterusan serta semangat penemuan.
Sementara itu, WindowScape berfungsi sebagai potret sisi dalam bentuk lukisan cahaya, menawarkan ruang kontemplasi dan rehat visual daripada kemeriahan suasana ‘taman tema’ pameran.
Selari dengan atmosfera tersebut, pengunjung turut digalakkan untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti interaktif. Setiap tetamu menerima token untuk mencuba mesin cakar dan gacha interaktif dengan peluang memenangi karya sebenar Sim Chan.

Token tambahan boleh dibeli di stesen interaktif yang menggunakan kereta sorong lama, menambahkan sentuhan nostalgia dan pesona tempatan kepada pengalaman pameran.
Blank Canvas merupakan ruang seni kontemporari bukan berasaskan keuntungan yang terletak di tengah-tengah Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), George Town, Pulau Pinang.
Ditubuhkan pada 2022, ia berperanan sebagai jambatan antara persekitaran bersejarah dengan dunia seni kontemporari antarabangsa.
Ruang itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan apresiasi terhadap seni kontemporari tempatan serta antarabangsa, di samping menggalakkan penggiat seni antarabangsa untuk mengenali dan berinteraksi dengan konteks Pulau Pinang serta rantau sekitarnya.
Pameran The Infinite Land (Penang) membuka pintunya kepada pengunjung pada setiap hari Khamis sehingga Isnin bermula pukul 12 tengah hari hingga 7 malam, sehingga 29 Disember ini.














