SETIAP lapisan nipis medovik menyerap krim sepenuhnya, menjadikan kek tersebut terasa halus, lembap dan menyatu dengan sempurna.
Apabila digigit, lapisan kek dan krim saling melengkapi tanpa ada rasa yang mendominasi.
Manis madu dari Ukraine yang lembut, halus, floral dan tidak berlebihan, seimbang dengan krim yang ringan.
Medovik merupakan kek madu klasik dari Rusia yang menjadi tarikan utama di Torte by Linda, Bandar Kinrara, Puchong, Selangor.
Antara perisa kek yang ditawarkan ialah classic honey cake, summer berries, honey chocolate, full chocolate, pandan, oren dan karamel.
Menurut pemiliknya, Linda Rozlee, kek yang mempunyai sekitar lapan lapisan ini lebih kompleks berbanding kek biasa yang hanya mempunyai dua hingga tiga lapisan.
“Pembuatan medovik agak unik berbanding kek biasa. Doh disediakan, dimasak dengan double boiler dan direhatkan semalaman.
“Keesokan harinya, doh ditimbang, digelek mengikut saiz dan bentuk, dibakar, dipotong semula dan disapu krim sebelum dihias.
“Keseluruhan proses, daripada doh sehingga siap dihidangkan, mengambil masa kira-kira dua hingga dua setengah hari,” katanya kepada CitaRasa.

Selain medovik, pelanggan juga boleh memesan katoshka atau kek kentang yang juga merupakan pemanis mulut dari Rusia.
Ia diperbuat menggunakan lebihan kek dan krim, dibentuk menyerupai ubi kentang, mengandungi badam dan dibuat dalam saiz mini supaya tidak muak dimakan.
Jika pelanggan ingin makanan yang lebih ringan, mereka boleh menikmati syrniki atau pancake versi Rusia.
Pancake tersebut diperbuat menggunakan inti tvorog (cottage cheese) yang dibuat sendiri di kafe dan boleh dinikmati bersama sos krim, jem, atau madu.
Bagi mereka yang mahukan makanan panas, pelmeni berinti daging lembu atau ayam boleh dihidang sebagai sup atau digoreng.
Terdapat juga vareniki, sejenis dumpling tradisional Rusia dan Ukraine, yang berinti kentang, lembut dan berkrim, sesuai dinikmati bersama sos krim, mentega cair atau jem.
Tambah wanita yang juga merupakan bekas pramugari itu, kafenya turut menawarkan makanan dari negara serantau yang merupakan bekas Soviet, termasuk Georgia, Uzbekistan dan Tajikistan.

“Semasa era Soviet, masakan Rusia memberi pengaruh ke negara-negara lain melalui standardisasi sekolah masak, kafe dan restoran.
“Makanan bekas Soviet berkongsi struktur makanan yang serupa, cara penyediaan tradisional dan bahan asas yang sama.
“Ini menunjukkan hubungan sejarah dan pengaruh budaya yang kuat antara satu sama lain,” katanya.
Antara hidangan dari negara serantau termasuklah Tajikistan menerusi kurze dumpling berinti daging kambing yang dihidangkan bersama krim masam dan serbuk cili.
Dari Georgia pula, terdapat megruli khachapuri, roti dengan keju di dalam serta adjarain khachapuri iaitu roti keju berbentuk sampan dengan kuning telur di atas.
Dari Uzbekistan pula, terdapat samsa, pastri berinti daging lembu atau ayam berempah yang dibakar sehingga keemasan.
Antara minuman signature kafe ialah rose honey lychee yang menggunakan madu dari Ukraine, lychee puree, rose syrup dan air ais.
Minuman ini direka khas sebagai signatur dan tahap kemanisannya pula boleh dilaraskan mengikut cita rasa.














