SEBERANG PERAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang mengambil masa hampir 12 jam dalam operasi memadam dan mengawal kebakaran melibatkan dua buah kilang di Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Dua kilang terbabit masing-masing merupakan premis memproses makanan ringan dan pembuatan kertas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran berlaku pada pukul 12.42 malam tadi.
Menurutnya, operasi pemadaman dan penyelamatan melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam.
“Kebakaran melibatkan dua buah kilang jenis separa kekal (Kelas B). Anggaran kebakaran di premis pertama yang menjalankan kerja-kerja pemprosesan makanan ringan adalah kira-kira 80 peratus manakala premis kedua yang menjalankan kerja-kerja percetakan terbakar sebanyak 30 peratus.
“Tiada penghuni semasa kejadian serta tiada mangsa yang dilaporkan terlibat. Kebakaran telah dapat dikawal pada pukul 1.23 pagi tadi dan operasi pemadaman turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran,” katanya di sini, hari ini.
Beritahunya lagi, kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.26 pagi dan kerja-kerja ‘overhaul’ turut melibatkan sebuah jengkaut milik PBS Permatang Tinggi bagi memastikan tiada lagi sisa kebakaran dan kemerbahayaan lain di lokasi kebakaran.
“Lokasi kejadian kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) bagi tindakan selanjutnya dan operasi tersebut tamat pada pukul 12.41 tengah hari tadi. – KOSMO! ONLINE














