KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah terpaksa menamatkan cabaran pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China selepas kempunan melangkah ke pentas final.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou sebentar tadi, gandingan No.2 dunia itu terpaksa akur tewas 19-21, 13-21 kepada beregu Jepun, Mayu Matsumoto-Yuki Fukushima.
Keputusan tersebut turut menyaksikan anak-anak buah Rosman Razak itu gagal untuk menebus kekalahan mereka kepada beregu berkenaan pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A yang berlangsung semalam.
Turun sebagai pilihan utama kejohanan, Pearly-Thinaah menampilkan aksi cukup baik sepanjang perlawanan tersebut, namun terpaksa menerima hakikat tuah lebih memihak kepada Matsumoto-Fukushima.
Meskipun gagal melangkah ke final, namun ini merupakan pencapaian terbaik buat pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand 2025 itu selepas tiga penampilan pada edisi 2024, 2022 dan 2021 berakhir di peringkat kumpulan.
Menjelang perlawanan akhir esok, Matsumoto-Fukushima akan bertemu sama ada beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee atau wakil tuan rumah, Liu Sheng Shu-Tan Ning yang dijadualkan berentap petang ini. – KOSMO! ONLINE














