fbpx
Tangkap layar video memperlihatkan Cikgu Zul tidak dapat menahan sebak sewaktu majlis perpisahannya di SK Balar, Gua Musang, Kelantan.

[VIDEO] Enam tahun berjuang di hutan belantara, Cikgu Zul akhirnya pergi jua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Balar di Gua Musang, Kelantan tidak dapat menahan sebak tatkala seorang guru dari sekolah tersebut dikenali sebagai Cikgu Zul dapat berpindah ke tempat lain selepas berkhidmat enam tahun di situ.

Menerusi video dimuat naik seorang guru dikenali sebagai Cikgu Ben Zaid pada Facebook memperlihatkan, warga sekolah terdiri daripada murid-murid anak Orang Asli berserta guru menangis sebak dalam satu majlis diadakan sempena perpisahan dengan Cikgu Zul.

Pada video itu juga, Cikgu Zul turut berucap di hadapan dan dia menangis sambil mengesat air mata dengan sapu tangan.
“Ramai tanya ada yang dapat pindah ke? Cikgu Zul yang dapat pindah selepas enam tahun berada di Pos Balar. Cikgu yang komited, baik dengan anak-anak Pos Balar, yang menghidupkan surau Pos Balar.

“Derapan bunyi selipar setiap pagi sebelum subuh menuju ke surau melalui bilik aku pasti akan rindu. Selamat bertugas di tempat baharu. Lemparlah ke mana-mana cikgu SK Balar, jadi pulau, berguna, ada kemahiran.

“Semangat juang tinggi. Tahan lasak fizikal dan mental, itu pasti. Terima kasih sekali lagi Zul,” menurut kapsyen video Cikgu Ben Zaid.

Ia mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna media sosial yang turut sedih dengan perpisahan tersebut, selain ada yang mendoakan Cikgu Zul di tempat baharu.

“Tahniah Cikgu Zul, semoga jasa dan bakti cikgu menjadi kekuatan kepada pelajar-pelajar. Tahniah juga kepada semua guru-guru dan kakitangan SK Balar. Dengan ketabahan anda lah menjadi inspirasi dan kebangsaan warga pendidik. Syabas seikhlas dari saya,” komen Mohd Razi Ramli.

“Gugurnya air mata seorang pendidik yang hebat. Terima kasih cikgu,” kata Siti Hajar Abu Bakar.

“Tahniah cikgu, ada kenangan dengan anak-anak Pos Balar yang tidak akan diorang lupakan. Moga terus cemerlang di tempat baharu,” komen Zawiah Awang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN