LIVERPOOL – Pemain termahal Liga Perdana Inggeris (EPL), Alexander Isak mengakui masih bergelut untuk mencapai prestasi terbaik bersama Liverpool selepas gagal memberikan impak yang diharapkan sejak berhijrah daripada Newcastle United, Ogos lepas.
Penyerang berusia 26 tahun itu tidak menolak kemungkinan saga perpindahan yang panjang sehingga terlepas kempen pramusim sebelum ini telah menjejaskan prestasinya sehingga sering dibelenggu kecederaan.
Malah, seorang lagi penyerang baharu The Reds, Hugo Ekitike dilihat mempamerkan aksi yang lebih berkualiti dan menjadi pilihan pengendali, Arne Slot dalam kesebelasan utama ketika ini.
“Jika ditanya sama ada sekarang saya 100 peratus cergas, jawapannya mungkin tidak. Secara jujur, saya belum berada pada tahap terbaik tetapi saya mahu kekal positif.
“Saya tidak berada dalam keadaan tertekan kerana saya tahu bila saya bermain dengan baik atau tidak. Saya sentiasa mahukan lebih buat pasukan, walaupun ada ketika prestasi saya sebelum ini sudah cukup bagus,” katanya.
Dalam perkembangan lain, skuad Liverpool sedikit tempang apabila bakal berdepan Tottenham Hotspur awal pagi esok tanpa kelibat tiga pemain utama, Dominik Szoboszlai, Mohamed Salah dan Cody Gakpo.
Szoboszlai dan Gakpo telah mengalami kecederaan dan belum cergas sepenuhnya manakala Salah pula telah dilepaskan untuk menyertai skuad antarabangsa Mesir bagi mengharungi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 di Maghribi. – AGENSI














