KUALA PILAH – Berbekalkan tunjuk ajar dan semangat yang gigih, tiga individu kurang upaya (OKU) mampu menghasilkan pelbagai barangan berasaskan manik di Bengkel Seri Perkasa, Johol di sini.
Antara produk yang dihasilkan termasuklah kotak tisu, beg dan rantai kunci yang kemudiannya dijual bagi menjana pendapatan golongan tersebut.
Seorang pelatih, Samsidal Boyot, 64, yang merupakan OKU fizikal berkata, dia berasa teruja setiap kali barangan yang dihasilkannya berjaya dijual kepada orang ramai.
“Seronok belajar di sini kerana dapat menuntut ilmu membuat tapak manik bagi perhiasan yang besar. Pengurus banyak memberikan tunjuk ajar. Selain ada aktiviti dilakukan pada waktu lapang, kami juga dapat menjana pendapatan.
“Malah, saya ingat lagi perhiasan paling mudah dibuat berbentuk bintang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bengkel Seri Perkasa Johol baru-baru ini.
Sementara itu, pengurus bengkel, Hasliana Hassan, 49, berkata, dia mempelajari teknik membuat perhiasan manik di kedai jualan manik dan media sosial sebelum berkongsi ilmu tersebut dengan pelatih bengkel supaya peserta dapat berdikari.
Beliau yang menjadi pengurus sejak 1996 berkata, tiga OKU tersebut menghasilkan perhiasan manik seperti kotak tisu, beg dan rantai kunci. Sambutan yang diterima daripada pelanggan begitu menggalakkan.
“Jika ada lawatan, barangan ini akan diborong, tapi jualannya tidak menentu malah pernah mencecah RM1,200. Setakat ini kita tidak membuka tempahan dalam jumlah besar kerana OKU ini berdepan kekangan untuk menghasilkan produk dengan pantas.
“Namun, kita berasa bertuah apabila sebuah hotel bertaraf lima bintang di Port Dickson turut membantu menjual produk ini yang menjadi identiti premis tersebut sejak 2019. Jadi ia memberi kegembiraan kepada pelatih,” katanya.
Jelasnya, barangan itu dijual pada harga serendah RM5 bagi rantai kunci hingga ratusan ringgit bergantung kepada saiz dan jumlah manik yang digunakan. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Undang Johol, dan ahli jawatankuasa bengkel turut membantu untuk mempromosikan produk itu dalam program yang mereka anjurkan.
“Hasil jualan tersebut akan digunakan semula bagi pusingan modal perhiasan manik dan kegunaan bengkel kerana terdapat lima OKU menetap di sini. Bengkel ini yang beroperasi sejak tahun 1995 berdaftar dengan JKM dan diuruskan oleh Persatuan Pemulihan OKU Negeri Sembilan,” katanya.
















