PERKEMBANGAN teknologi digital mengubah cara masyarakat menikmati hiburan audio, khususnya muzik.
Jika suatu ketika dahulu radio menjadi medium utama untuk mendengar lagu dan mendapatkan maklumat, kini aplikasi penstriman muzik semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna.
Walaupun teknologi terus berkembang pesat, radio tetap menjadi pilihan ramai kerana sifatnya yang mudah diakses, pantas dan mampu menyampaikan maklumat secara langsung kepada pendengar tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
Perkara tersebut dibuktikan GfK yang melaksanakan kajian Pengukuran Pendengar Radio (RAM) secara nasional pertama di Malaysia.
Menurut hasil kajian RAM Gelombang Kedua 2025, radio kekal sebagai medium yang kukuh dan relevan dengan 21.9 juta pendengar mingguan dan purata masa mendengar 12 jam 47 minit seminggu.
Lokasi utama mendengar radio adalah dalam kereta, diikuti di rumah dan tempat kerja, dengan waktu petang dan pagi sebagai waktu puncak pendengaran.
Penyampai radio Era FM, Radin menyatakan industri radio di Malaysia masih kekal relevan walaupun berdepan persaingan hebat daripada media digital dan aplikasi penstriman muzik.
“Berdasarkan apa yang dikeluarkan GfK yang merupakan salah satu agensi yang buat tinjauan untuk radio, bila keputusan keluar kita dapat lihat data-data keluar beri impak secara positif.
“Di mana radio kekal relevan walaupun industri digital seperti media sosial berkembang dan saya percaya semua orang bergantung kepada media sosial.
“Bohonglah perkara tersebut tidak beri kesan kepada radio ditambah dengan wujudnya aplikasi lain macam Apple Music, Spotify dan Joox,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Radin Amir Affendy Ahmad Aruani menjelaskan data berkenaan membuktikan radio masih diperlukan sebagai medium utama kepada masyarakat.
“Jadi berdasarkan data dikeluarkan menunjukkan perkembangan positif kepada industri radio kerana kami masih diperlukan.
“Kami juga menjadi antara medium utama untuk rakyat Malaysia. Secara amnya radio ada peminat tersendiri.
“Kadang-kadang bila orang dengar radio, bukan isi masa lapang. Tapi dengar waktu balik dan pergi kerja, tengah galau atau masa buat ulang kaji. Itu puncanya radio masih relevan,” tuturnya.
Mengulas lanjut, pengacara berusia 35 tahun itu percaya kelebihan utama radio terletak pada elemen kemanusiaan atau human touch yang tidak dapat digantikan oleh aplikasi muzik.
“Bila lihat berdasarkan pengalaman peribadi, radio ada human touch. Contohnya, pergi pusat beli-belah, ada kerusi urut, kita akan tetap cari orang untuk urut.
“Sama macam radio kalau kita dengar lagu di aplikasi, kita tetap nak dengar radio sebab ada suara penyampai radio.
“Apa yang boleh cakap ini persaingan secara sihat antara media tradisional dan urban. Tidak kisah dari radio mana, yang penting kami masih ada peminat tersendiri dan beri kesan positif kepada pendengar,” jelasnya.
Tambah Radin, sokongan pendengar menjadi nadi utama kelangsungan industri radio.
“Sebagai penyampai radio ada pengalaman, rasa bersyukur kepada pendengar.
“Tak boleh nafikan penggunaan atau kepentingan media sosial, sekarang pun Instagram Era ada empat juta dan dua juta pengikut dalam TikTok.
“Kami cipta kandungan digital dan hidangkan dalam media sosial. Secara tak langsung dapat tarik pendengar kita di radio,” tuturnya lagi. -KOSMO! ONLINE
















