DEWAN ballroom sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini menjadi saksi bagaimana kebaya diangkat martabatnya ke peringkat serantau sekali gus memperkukuh diplomasi budaya menerusi fesyen dan seni di Asia Tenggara.
Karnival Kebaya Malaysia 3.0 diraikan cukup meriah bukan hanya dengan mengetengahkan busana kebaya tetapi juga menampilkan budaya fesyen serantau menerusi penyertaan negara-negara ASEAN.
Karnival Kebaya Malaysia 3.0 itu diadakan bagi meraikan Hari Kebaya Kebangsaan, Fesyen dan Diplomasi Budaya ASEAN serta penganjuran Anugerah Persatuan Fesyen, Model dan Pageant Malaysia (MFMPA) ASEAN 2025.
Acara itu dianjurkan oleh Miss Malaysia Kebaya (MMK) dan MFMPA.
Meneruskan semangat kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini, karnival itu disertai wakil-wakil dari 11 negara di Asia Tenggara dengan turut mempersembahkan koleksi fesyen busana tradisi Vietnam dan Thailand.
Selain terpesona dengan keindahan dan keanggunan busana kebaya yang merupakan pakaian ikonik kebanggaan Malaysia, para tetamu turut berpeluang melihat pertunjukan koleksi fesyen ao dai iaitu busana tradisional wanita Vietnam dan seleksi busana wanita Thai.
Malam gala karnival tersebut disempurnakan oleh Presiden MFMPA, Dr. Jason Hee Jee Pin dan Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China, Senator Tan Sri Low Kian Chuan.

Jason berkata, malam gala karnival itu bukan sekadar fesyen. Ia mewakili perpaduan, budaya, diplomasi dan daya kreativiti ASEAN.
“Karnival sebegini bertujuan meraikan kebaya dan bagaimana kebaya itu dapat mempromosikan bangsa Malaysia, cuma kali ini, kita membawanya ke peringkat ASEAN.
“Menerusi acara ini dan anugerah MFMPA ASEAN, kita berbangga kerana dapat mengangkat kepimpinan kebudayaan Malaysia dan merintis jalan baharu untuk kolaborasi serantau,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Sementara itu, Anugerah MFMPA ASEAN pula memberikan penghargaan kepada tokoh-tokoh dan pihak yang cemerlang dalam bidang kreatif khususnya dalam bidang fesyen, peragaan dan pageant di Asia Tenggara.
Media turut diberikan pengiktirafan dengan empat buah media Malaysia telah menerima anugerah atas kecemerlangan masing-masing termasuk Kosmo!.
Kosmo! telah diberikan Anugerah Kecemerlangan Media Gaya Hidup, Hiburan dan Komuniti 2025 atas kecemerlangannya menyajikan kepelbagaian artikel-artikel gaya hidup.
Lain-lain penerima ialah Harian Metro yang menerima Anugerah Pengaruh Media Cemerlang dan Kepimpinan Pembaca Bandar 2025, Berita Harian (Anugerah Sumbangan Cemerlang kepada Kewartawanan Nasional dan
Kepimpinan Media Melayu 2025) dan The Sun (Anugerah Kecemerlangan Laporan Berita Nasional dan Maklumat Awam 2025).
Kian Chuan berkata, Anugerah MFMPA ASEAN mengiktiraf individu dan organisasi cemerlang yang menyumbang kepada ekonomi kreatif, selain memberi inspirasi melalui fesyen, peragaan, seni dan filantropi.
Kian Chuan menyifatkan acara ini menandakan pencapaian penting warga ASEAN yang bersama-sama dalam persahabatan dan kolaborasi.
“Inisiatif seperti ini menunjukkan kekayaan rantau ini dan memperkuat pemahaman budaya dalam kalangan komuniti kita yang beraneka.
“Tahniah kepada semua penerima anugerah dan peserta. Semoga acara ini terus menyerlahkan perpaduan ASEAN menerusi budaya, kreativiti dan matlamat bersama,” katanya.














