KUALA LUMPUR – Majlis Media Malaysia (MMM) dijangka mengadakan pertemuan rasmi dengan Kementerian Komunikasi selewat-lewatnya pada minggu kedua Januari depan bagi membincangkan beberapa aspek penting termasuk pengurusan dana, penubuhan pejabat serta inisiatif memperkukuh industri media negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, MMM baru sahaja selesai proses pelantikan dan latihan pemilihan ahli-ahli lembaga majlis berkenaan, namun setakat ini beliau belum dimaklumkan sama ada pengerusi telah dipilih.
“Insya-Allah, pada minggu pertama atau selewat-lewatnya minggu kedua Januari, saya akan mengadakan pertemuan dengan pihak Majlis Media Malaysia. Ada beberapa perkara penting yang perlu diuruskan termasuk soal dana, pejabat dan inisiatif yang perlu digerakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kompleks Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.
Menurut Fahmi, kementeriannya komited memastikan industri media di negara ini bukan sahaja kekal bebas, berdaya saing dan berfungsi secara mampan, malah mampu mendepani cabaran semasa termasuk tekanan ekonomi yang melanda sektor tersebut.
Semalam, media melaporkan Perdana Menteri menyarankan kepada MMM supaya mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri bagi menangani undang-undang bersifat regresif terhadap kebebasan media.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, MMM yang akan mengawal selia industri media tempatan, mempunyai peranan penting dalam memperkukuh kebebasan media di negara ini. – KOSMO! ONLINE














