‘Kalau bukan hari ini mungkin minggu depan, Kalau bukan minggu depan mungkin bulan depan, kalau bukan bulan depan mungkin tahun depan, segala harapan akan datang yang kita impikan…’
Bait lagu ini sangat menusuk. Harapan pada satu janji yang belum pasti bila dapat ditunaikan meskipun pelbagai usaha telah pun dilakukan.
Mereka yang telah menonton filem Papa Zola pasti tahu dan terkesan dengan lirik ini. Filem ini bukan hanya animasi kanak-kanak tetapi kisah menyayat hati tentang pengorbanan seorang bapa.
Dalam sehari tiga pekerjaan dibuat, pemandu van sekolah, rider makanan dan penjual buku.
Bermula seawal subuh, dia bekerja sebagai pemandu van menghantar anaknya, Pipi dan pelajar lain ke sekolah, selepas itu sebagai rider memenuhi pesanan pelanggan.
Pelbagai ragam dihadapi, ada yang baik hati menerima walau terlambat, namun terdapat pelanggan yang ‘reject’ pesanan kerana makanan lambat sampai. Biarpun dijelaskan, namun tidak diterima dan akhirnya menanggung rugi.
Di sela-sela waktu, Papa Zola menjual buku kanak-kanak, didekati pelanggan antaraya di kedai makan dan perhentian bas tetapi tiada yang membeli sebaliknya ramai menjauh dan mencemuh.
Itulah ragam dihadapi peniaga. Bukan mudah untuk menjalankan perniagaan apatah lagi produk bukan dambaan pelanggan seperti makanan viral dan permainan kanak-kanak.
Keteguhan Papa Zola semuanya untuk kelangsungan hidup dan mahu merealisasikan impian anaknya yang ingin bercuti pada musim cuti sekolah ini. Namun, apa yang menghalang duit tidak cukup.
Penulis pasti apa dilalui Papa Zola, hero animasi adalah sama dengan hero di alam nyata iaitu papa, daddy, ayah dan abi. Mungkin bukan semua tetapi sebahagiannya begini.
Penulis bukan mahu mengangkat filem ini tetapi kisah dipertontonkan sangat bagus untuk tatapan si anak, menjadikan mereka faham tugas seorang bapa yang mungkin tidak selalu ada selain emosi yang tidak ditunjukkan seperti seorang ibu.
Selain itu, perjuangan ditonjolkan dalam filem ini sama seperti pengorbanan seorang bekas pembantu restoran di Kelantan yang sanggup menjual barangan berharga miliknya demi isteri yang menghidap kanser sarcoma tisu lutut tahap empat.
Kisah lelaki ini disiarkan Kosmo! minggu lalu, yang memperlihatkan dia tega menjual barangan kemas bagi menampung kos rawatan isteri dan perbelanjaan diperlukan keluarga. Kini dia juga sedang mencari pembeli kereta BMW e900 miliknya selain tabah menjaga insan kesayangan yang terlantar.
Banyak yang boleh dipelajari daripada dua kisah ini, pengorbanan perlukan keikhlasan.
Penulis bukan mengagungkan bapa dan tidak pula menidakkan peranan ibu, dua figura penting ini dalam kelangsungan sebuah keluarga. Tanpa bapa atau ibu, tidak lengkap pembangunan diri seorang anak.
Di saat cuti sekolah yang hampir tiba, ibu bapa boleh merencana percutian bersama anak-anak, bukan perlu ke luar negara atau lokasi pelancongan popular tetapi cukup masa kita bersama.














