KUANTAN – Penduduk di dua lokasi iaitu Bunut Rendang dan Taman Inderapura, di sini bakal dinasihatkan untuk berpindah selepas sebuah rumah pam di Bunut Rendang telah dihentikan operasi.
Menerusi satu memo yang disebarkan melalui kumpulan WhatsApp, rumah pam di Bunut Rendang dihentikan operasi kerana telah melebihi had operasi.
“Oleh itu, kawasan Bunut Rendang dan Inderapura adalah berisiko mengalami banjir sekiranya hujan masih berterusan,” katanya hari ini.
Seorang wakil penduduk yang enggan dikenali memberitahu Kosmo!, dia menerima memo tersebut yang difahamkan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
“Arahan itu antara lainnya menasihatkan penduduk di dua lokasi tersebut agar segera meninggalkan rumah dan berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Kita menjangkakan keadaan banjir di kawasan Inderapura ini akan bertambah buruk selepas rumah pam air tersebut dihentikan operasi,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di Kuantan, Pahang dinaiki air.
Tinjauan menerusi beberapa siaran langsung di media sosial, hujan lebat telah menyebabkan beberapa jalan tidak boleh dilalui berikutan air banjir kini naik sehingga paras lutut.
Antara kawasan yang terkesan ialah di sekitar Kolej Poly-Tech Mara Kuantan, jalan Kuantan-Pekan di hadapan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dan Taman Guru.
Selain itu, di Taman Seri Inderapura hujan lebat menyebabkan air naik dengan cepat dan memutuskan laluan di kedua-dua hala.-KOSMO! ONLINE














