fbpx
AKTIVITI kardio membantu individu ADHD menyalurkan tenaga berlebihan secara positif.

Senaman bantu Desmond urus ADHD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERSENAM di gimnasium bukan sahaja membina fizikal yang sasa, malah menyokong kesihatan mental dan emosi.

Bagi individu dengan gangguan kurang perhatian dan hiperaktif (ADHD), gimnasium berfungsi sebagai saluran tenaga positif.

Kajian saintifik turut menyokong bahawa aktiviti fizikal boleh meningkatkan bahan kimia otak termasuk dopamin dan norepinephrine

Ini membantu fokus dan kawalan diri, selari dengan mekanisme ubat ADHD.

Aktiviti fizikal yang konsisten juga dapat membentuk disiplin, meningkatkan stamina dan membantu menyalurkan tenaga berlebihan dengan cara yang lebih teratur.

Itulah yang dilakukan oleh Desmond Yong Xin Yue yang didiagnosis mengalami ADHD berfungsi tinggi (high-functioning ADHD) sejak usia tujuh tahun.

Walaupun Desmond masih mengambil ubat untuk menenangkan fikiran, bapanya, Yong Poi Onn, menyatakan bahawa bersenam menjadi strategi pengurusan simptom yang berkesan.

“Desmond mengalami simptom ADHD seperti menghadapi cabaran fokus dan hiperaktif, namun masih mampu mengurus diri sendiri dan berfungsi dalam kehidupan seharian.

“Selain menguatkan badan, rutin gimnasium harian membantu anak saya melepaskan tenaganya yang berlebihan dan membuatkan dirinya lebih tenang.

PERKEMBANGAN fizikal Desmond dapat dilihat dengan jelas selepas berlatih secara konsisten.

“Aktiviti seperti angkat berat juga membantu mengurangkan rasa hiperaktif, sekali gus memudahkan dia memberi tumpuan pada hal-hal lain,” katanya kepada K-Remaja.

Pemuda berusia 30 tahun itu menghadapi cabaran dalam pengurusan masa kerana simptom ADHD membuatkan dia sukar menyusun dan mengatur rutin harian secara konsisten.

Untuk itu, bapanya banyak membantu merancang jadual ke gimnasium, mengira masa perjalanan dan memastikan rutin hariannya lebih teratur.

Adik perempuannya yang kini sudah bekerja pula kadangkala menemani Desmond terutama pada hujung minggu dan setiap kali mempunyai masa terluang.

Poi Onn menambah, Desmond yang mula berlatih di gimnasium sejak tahun 2023 itu kini berhasrat membentuk badan lebih tegap kerana minatnya dalam bidang peragaan.

“Setiap hari, Desmond menggunakan Transit Aliran Massa (MRT) untuk ke gimnasium dan meluangkan masa antara empat hingga lima jam di sana.

“Latihannya dilakukan tanpa jurulatih peribadi. Dia belajar melalui YouTube dan juga bertanya kepada rakan-rakan di gimnasium mengenai penggunaan peralatan.

“Rutin latihannya disusun secara bergilir-gilir, contohnya hari ini latihan tangan dan esok latihan kaki serta digabungkan dengan kardio untuk mengekalkan tenaga,” katanya.

Poi Onn turut menyatakan bahawa perkembangan fizikal Desmond dapat dilihat dengan jelas selepas berlatih secara konsisten.

Dahulu anaknya itu terlalu kurus, kini dia mula memiliki otot, malah mendapat pujian daripada keluarga serta rakan-rakan.

Minatnya untuk menceburi bidang peragaan masih diteruskan dan dia sedang mencuba beberapa platform, walaupun setakat ini belum menerima sebarang tawaran rasmi.

“Saya gembira melihat perubahan anak saya menerusi aktiviti senaman ini, dia mendapat manfaat positif baik dari segi fizikal mahupun mental.

“Dia kini bukan sahaja lebih tenang kerana tenaga berlebihannya disalurkan kepada aktiviti yang positif, malah tampil lebih sihat dan yakin dengan dirinya sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN