JOHOR BAHRU – Cubaan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri dengan bersembunyi atas bumbung rumah kedai gagal apabila ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Johor dalam Ops Sapu di Johor Jaya, pagi semalam.
Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi bermula pukul 12.10 pagi itu melibatkan 24 pegawai dan anggota penguat kuasa Bahagian Penguatkuasa JIM Johor hasil risikan serta aduan awam.
“Serbuan mengejut itu dijalankan ketika kesemua warga asing tersebut sedang berehat di rumah kedai yang dijadikan tempat tinggal mereka. Ada antara mereka yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di atas bumbung namun berjaya diberkas.
“Seramai 49 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan. Mereka terdiri warga Indonesia, Myanmar, Pakistan, dan Bangladesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua PATI berusia 20 hingga 49 tahun itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa di negara ini. – KOSMO!ONLINE














