DALAM era elektrifikasi, kebanyakan jentera kelihatan futuristik dan moden, namun berbeza dengan kenderaan elektrik (EV) iCaur V23 yang menampilkan kelainan dengan bentuk retro dan berkotak.
Sekali pandang, model dari jenama automotif China ini nampak ‘fun’ untuk kegunaan urban tetapi dalam masa sama kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik ini berkebolehan sebagai EV off-road berprestasi.
V23 telah dilancarkan oleh iCaur Malaysia pada hujung November lalu dalam dua varian untuk pasaran negara ini iaitu pacuan roda belakang (2WD) pada harga RM119,800 dan pacuan pintar dual motor (iWD) pada harga RM132,800 atas jalan raya tanpa insurans.
Jentera ini memberi gambaran bahawa EV bukan lagi terhad kepada jalan berturap, sebaliknya membuka ruang baharu untuk pengguna yang mahu mengembara secara hijau tetapi dengan enjin senyap dan sifar karbon.
Model dalam segmen C ini diangkat sebagai SUV kegunaan lasak elektrik sepenuhnya dan bakal mempelopori kategori BEV (Battery Electric Vehicle) pengembaraan dengan menggabungkan prestasi, keselamatan serta keupayaan serba boleh.
Dengan tagline ‘Co-Create, Co-Define’, ia menandakan transformasi besar daripada pengeluaran automotif tradisional kepada pembangunan ekosistem mobiliti pintar yang dipacu oleh keperluan pengguna.
Dari segi reka bentuk, V23 tampil dengan rekaan berkotak menampakkan sisi tegas dan berani serta mengimbau nostalgia imej SUV off-road klasik.

Ia diperkemas rim bersaiz 21 inci untuk varian iWD dan 19 inci untuk 2WD dengan tayar besar untuk ketahanan dan cengkaman baik di pelbagai jenis permukaan jalan.
Sebelum dilancarkan, rakan media berpeluang menguji V23 di trek ATV Gamuda Gardens Experience Rawang, Selangor yang terkenal dengan laluan tanah merah berbukit dan permukaan tidak rata.
Ternyata SUV elektrik itu bukan sahaja menang gaya tetapi terbukti mampu mengharungi rintangan off-road dengan baik.
Direka dengan jarak kelegaan tanah 200mm, V23 mempunyai kemampuan meredah air dengan kedalaman sehingga 600mm serta sudut mendaki 42 darjah.
Laluan di sini tidak terlalu ekstrem tetapi cukup teknikal untuk menguji kemampuan asas off-road sebuah SUV EV seperti V23.
Struktur asas V23 dibina dengan rangka yang terdiri daripada 70 peratus keluli berkekuatan tinggi dan tahan lasak.
Varian 2WD dikuasakan oleh bateri lithium iron phospate (LFP) berkapasiti 59.93kWh dengan jarak gerak sehingga 360 kilometer (km) mengikut NEDC menghasilkan kuasa 136PS dan tork 180Nm.
Sementara itu, varian iWD berkapasiti bateri Nikel Mangan Kobalt (NMC) 81.76kWh dengan jarak gerak sehingga 430km (NEDC) kuasa 211PS dan tork 292Nm.
Dari segi prestasi, ia sederhana tetapi memadai untuk kegunaan harian dan mampu memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 11 saat bagi 2WD dan 7.5 saat untuk iWD dengan kelajuan maksimum 140km/j.
Keupayaan pengecasan 2WD menyokong pengecasan pantas (DC) 85kW, manakala iWD boleh mencapai sehingga 104kW, manakala pengecasan standard (AC) pula berkapasiti 6.6kW.
Mengimbau ke ruangan kabin, elemen gaya minimalis moden digunakan dengan paparan pemuka tegak dengan skrin infotaiment saiz 15.4 inci selain penyaman udara rekaan berkotak.
Aspek keselamatan SUV EV off-road ini tidak diabaikan.
V23 dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 dengan Pengesanan Titik Buta, Amaran Pembukaan Pintu, Amaran Keluar Lorong, Pencegahan Keluar Lorong, Bantuan Pertukaran Lorong dan Bantuan Mengekalkan Lorong Kecemasan.
V23 diberikan lima pilihan warna menarik iaitu Off Road Orange, Khaki Whitez Army Green, Slate Silver dan Carbon Black.
Konklusinya, penulis melihat iCaur V23 menawarkan pakej menarik kepada pengguna bukan sahaja dari rekaan luarannya yang menarik tetapi signifikan untuk pemanduan EV off-road ringan.
Ini membuktikan, iCaur mengorak satu langkah ke depan dengan pengenalan EV lasak bukan sekadar untuk kegunaan harian di bandar.
















