SEBERANG PERAI – Suspek yang dipercayai bertindak membunuh dan menyimpan mayat isterinya selama empat hari di dalam sebuah bilik tidur di kediaman mereka di flat Jalan Tuna, Seberang Jaya di sini sempat memohon maaf kepada bapa mentuanya tadi.
Lelaki berusia 28 tahun itu berkata demikian kepada bapa isterinya, Ishak Man, 76, ketika dia dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Seberang Jaya sambil diiringi anggota polis.
Suspek dalam keadaan sugul dilihat menoleh ke arah bapa mentuanya yang ketika itu berdiri bersebelahan van jenazah, di laluan keluar menuju ke kenderaan polis.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan bangunan terbabit kira-kira pukul 11 pagi tadi dalam keadaan kedua-dua tangan bergari dan memakai baju lokap oren.
Menurutnya Ishak, dia hanya mendengar luahan maaf dan tidak sempat berkata apa-apa ketika menantunya dibawa keluar dari Unit Forensik.
“Dia tengok muka pak cik, dia terus cakap dalam nada perlahan…saya minta maaf ayah. Itu sahaja dan pak cik hanya perhati sahaja muka dia ketika polis mengiringinya tadi,” katanya kepada pemberita di sini, tadi.
Dalam pada itu, Ishak memberitahu lagi, dia bergegas ke Pulau Pinang dengan anak bongsunya sebaik dimaklumkan mengenai kejadian berlaku petang semalam.
Jelasnya, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Suka Menanti, Alor Setar, Kedah selepas solat Asar nanti.
Terdahulu, suspek yang juga penganggur ditahan reman selama seminggu, bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dengan diiringi anggota Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), kira-kira pukul 8.45 pagi tadi.
Kejadian kejam itu terbongkar selepas suspek mengaku membunuh dan menyimpan mayat isterinya di dalam bilik tidur selama empat hari sebelum tampil menyerah diri di balai polis berhampiran, pagi semalam. -KOSMO! ONLINE














