PETALING JAYA – Kawasan hutan berhampiran tangki air Selangor di Taman Sri Gombak Fasa 7, Pinggiran Batu Caves sekali lagi terbakar malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.49 malam.
Katanya, 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi dan kebakaran melibatkan kawasan hutan seluas 100 x 200 kaki persegi.
“Kerja-kerja pemadaman segera dijalankan sebaik anggota tiba pada pukul 11.58 malam. Kebakaran berjaya dikawal dan api dipadam sepenuhnya pukul 1.50 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan.
Terdahulu, kebakaran hutan seluas empat hektar di Jalan Utama Bukit Sri Gombak telah dilaporkan dan api berjaya dipadam sepenuhnya oleh pasukan bomba yang mengambil masa selama lebih lima jam.– KOSMO! ONLINE.














