RANTAU PANJANG – Sebanyak 10 lagi pangkalan haram di Sungai Golok di sini yang dikesan menjadi lokasi penyeludupan dirobohkan hari ini.
Jeti haram yang dirobohkan ialah Ibrahim Pencen, Ibrahim Pencen 2, Kak Pah, Tambahan, Kayangan Inn, Jeram Perdah 2, Syed Moer 2, Jitong, Mat Yeh dan Mok Yah.
Perobohan itu menjadikan sebanyak 18 pengkalan haram sudah robohkan sejak operasi tersebut dijalankan bermula 28 Oktober lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, operasi merobohkan pangkalan haram itu berjalan lancar tanpa sebarang provokasi.
Katanya, kerja-kerja perobohan melibatkan kerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Tanah dan Galian dan Jabatan Kerja Raya.
“Operasi itu diteruskan sehingga semua pangkalan haram itu dirobohkan sepenuhnya,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, kerja-kerja perobohan 223 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand yang dikesan menjadi lokasi penyeludupan dilakukan secara berperingkat bermula 28 Oktober lalu.
Mohd. Yusoff berkata, pangkalan haram Gergaji dan MCA dekat Rantau Panjang menjadi perintis kepada kerja-kerja perobohan itu yang dijangka mengambil masa dua bulan.
Katanya, semakan mendapati sebanyak 216 daripada 223 jeti haram bermula dari Pengkalan Kubor hingga Jeli itu dibina atas tanah kerajaan.
“Baki tujuh struktur binaan dibuat atas tanah milik persendirian. Perkara ini sudah hampir setahun saya maklumkan dan masyarakat faham tujuan sebenar tindakan perobohan dijalankan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














