LONDON – Sebahagian besar pemandu terperangkap akibat banjir, manakala ribuan orang terputus bekalan elektrik apabila Ribut Bram melanda Britain semalam, lapor akhbar The Sun UK.
Pejabat Meteorologi Britain mengeluarkan amaran bahaya kepada orang ramai ketika keadaan hujan lebat dan berangin melanda negara itu.
Sembilan amaran cuaca berkaitan angin masih berkuatkuasa petang semalam, dengan amaran jingga dikeluarkan untuk Scottish Highlands, Eilean Siar, Strathclyde dan Ireland Utara.
Cuaca buruk itu menyebabkan gangguan berlaku di beberapa bahagian negara tersebut dengan angin kencang menjejaskan pengangkutan dan menyebabkan perjalanan terpaksa ditunda.
Terdapat banjir dan kemalangan melibatkan beberapa kenderaan di sebahagian lebuh raya M66 di Greater Manchester, yang ditutup arah selatan ketika pasukan penyelamat mengeringkan air.
Lapangan Terbang Manchester turut ditutup dengan puluhan penerbangan dibatalkan.
Beberapa perkhidmatan kereta api digantung di Scotland, manakala laluan kereta api antara Par dan Newquay di Cornwall ditutup akibat banjir.
Kira-kira 23,000 orang di seluruh Britain juga terputus bekalan elektrik akibat ribut tersebut.
Pejabat Meteorologi sebelum ini memberi amaran bahawa tiupan angin selaju 113 kilometer sejam hingga 128 kilometer sejam dijangka berlaku, dengan beberapa kawasan berpotensi mengalami angin kencang sehingga 145 kilometer sejam. – AGENSI














