JEMPOL – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit nahas gara-gara mengelak seorang warga emas melintas di Jalan Dato’ Jempol, Pekan Bahau, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, mangsa iaitu lelaki berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tangan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.
“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 28 tahun dari arah Bahau menuju ke Seremban, motosikal jenis Aveta dan seorang pejalan kaki iaitu lelaki berusia 83 tahun.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa pemandu lori yang sedang bergerak terus telah memperlahankan kenderaan apabila secara tiba-tiba terdapat seorang pejalan kaki warga emas melintas jalan dari bahu kanan jalan ke kiri jalan.
“Kemudian, datang sebuah motosikal dari arah belakang lorong sebelah kiri lori tersebut telah cuba mengelak ke kanan jalan namun terlanggar juga pejalan kaki sebelum dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu bergesel dengan motolori sebelum terjatuh di atas jalan raya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.- KOSMO! ONLINE














