KUALA LUMPUR – Dua timbalan menteri mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua di Dewan Negara hari ini.
Mereka ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy.
Kedua-dua mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah di sini.
Awang Bemee berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada Dr. Fuziah dan Saraswathy atas pelantikan semula sebagai senator.
“Selamat menjalankan amanah serta selamat berkhidmat,” katanya selepas selesai upacara tersebut.
Dr. Fuziah dan Saraswathy kali pertama mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada 10 Disember 2022.
Pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengikut peruntukan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Ia berkuat kuasa bermula hari ini hingga 9 Disember 2028 selaras dengan Perkara 45(3) dan 45(3A) – KOSMO! ONLINE














