JOHOR BAHRU – Seorang pemandu e-hailing berdepan detik cemas apabila disamun tiga remaja lelaki dalam kejadian di kawasan perumahan di Skudai di sini, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi ketika mangsa berusia 47 tahun menurunkan suspek yang masing-masing berusia 15 hingga 17 tahun.
“Setibanya di sebuah kawasan perumahan di Skudai, suspek meminta mangsa menunjukkan kod QR dengan alasan membuat bayaran tambang melalui aplikasi Touch ‘N Go.
“Ketika mangsa menghulurkan telefon bagi menunjukkan kod QR, suspek merampas telefon itu dan melarikan diri.
“Mangsa cuba mengejar suspek, namun tergelincir dan cedera ringan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azrol berkata, mangsa tampil membuat laporan polis pada pukul 9.18 malam pada hari yang sama kejadian.
Jelasnya, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan ketiga-tiga remaja terbabit di kawasan Skudai pada pukul 3.15 petang semalam.
Katanya, ketiga-tiga suspek akan direman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan samun berkumpulan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.-KOSMO! ONLINE














