PETALING JAYA – Pelantikan ejen pemungut yang kini dipersoalkan pelbagai pihak sebenarnya dilaksanakan sejak sembilan tahun lalu bagi membuka saluran tambahan kepada pengguna.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sehingga hari ini sebanyak 10 ejen dilantik bagi menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai.
“Ejen pemungut tidak mempunyai sebarang peranan dalam pemungutan melalui saluran rasmi JPJ seperti aplikasi MyJPJ, MySikap dan urusan di mana-mana pejabat JPJ.
“Pelantikan ejen hanyalah bagi membolehkan perkhidmatan JPJ ditawarkan di platform tambahan.
“Sebagai contoh apabila platform insurans dilantik sebagai ejen, ia membolehkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dilakukan terus ketika pelanggan membeli insurans kenderaan, namun pengguna masih mempunyai pilihan untuk memperbaharui secara berasingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aedy Fadly berkata, antara syarikat yang pernah dilantik sebagai ejen pemungut termasuk Pos Malaysia Berhad, MyEG Services Sdn. Bhd., Puspakom Sdn. Bhd., Konsortium Multimedia Swasta Sdn. Bhd., TCSENS Sdn. Bhd. dan TNG Sdn. Bhd.
Menurutnya, pelantikan ejen pemungut tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan, dan mana-mana syarikat berkelayakan boleh memohon untuk menyediakan perkhidmatan nilai tambah mengikut prosedur yang diluluskan Kementerian Kewangan.
“JPJ akan terus memastikan integriti data, keselamatan transaksi dan pengalaman pengguna berada di tahap optimum selaras aspirasi kerajaan memperkukuh perkhidmatan digital sektor awam,” katanya.
Ujarnya, pengawalseliaan berterusan akan dilakukan terhadap semua ejen yang dilantik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kekal cekap, selamat dan mudah diakses masyarakat.
Isu ini tercetus apabila media melaporkan Ramssol Group Bhd., melalui anak syarikat milik penuhnya Rider Gate Sdn. Bhd. dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan sebagai ejen kutipan yang diberi kuasa oleh JPJ.- KOSMO! ONLINE














