BANGKOK – Skuad sepak takraw negara membawa misi wajib menang ke Sukan SEA Thailand 2025 dengan menamatkan penantian 34 tahun membawa pulang pingat emas regu berpasukan.
Kali terakhir kilauan emas acara tersebut diterjemahkan pada edisi Manila 1991 di Filipina dan kejayaan itu dilakar ketika ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun masih berada dalam pasukan beraksi selaku tekong.
Selepas lebih tiga dekad, tanggungjawab besar itu digalas oleh tekong utama negara seperti Haziq Hairul Nizam, Muhammad Syahir Rosdi, Zulkifli Abdul Razak Zarif Marican Ibrahim Marican.
Haziq berkata, mereka telah melakukan persiapan rapi dan percaya gandingan empat regu dibawa ke Thailand mampu memberi tentangan hebat kepada tuan rumah.
“Kami rakan sepasukan sudah melakukan persiapan lama dan semua bersemangat untuk ke Sukan SEA kali ini.
“Biarpun percaturan regu terletak di tangan jurulatih, secara peribadi saya lebih selesa jika digandingkan Zuleffendi Sumari dan Hafizul Hayazi Adnan.
“Kami sudah bermain bersama sejak 2021 bermula di pentas STL (Liga Sepak Takraw). Keserasian itu sudah ada dan saya amat yakin mampu membuahkan keputusan positif,” katanya.
Haziq yang membuat penampilan ketiga di Sukan SEA selepas edisi Hanoi 2021 dan Kemboja 2023, juga mengakui faktor penyokong tuan rumah dan mutu pengadilan sering menjadi kelebihan buat lawan.
Jelasnya, kem latihan pusat ala ketenteraan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini, telah mempersiapkan pemain dengan ketahanan mental pada tahap tertinggi.
“Jika berdepan Thailand di final, sebenarnya saya tidak takut, cuma kelebihan mereka beraksi sebagai tuan rumah. Faktor pengadil dan sorakan penyokong beri kelebihan buat mereka.
“Saya tidak mahu lakukan kesilapan kecil sekali pun kerana ia mampu mengubah rentak dan memberi kelebihan Thailand mendapat mata mudah,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE














