GEORGE TOWN – Perbuatan pelajar yang menyerahkan hasil tugasan yang dijana sepenuhnya dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan mengaku hasil usahanya sendiri disifatkan sebagai penipuan akademik dan khianat terhadap amanah ilmu.
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, dalam Islam, menuntut ilmu bukan sekadar memenuhi syarat akademik tetapi satu ibadah dan amanah.
“Menyiapkan tugasan atau tesis adalah sebahagian daripada amanah. Ia melatih pelajar berfikir, menilai dan menulis berdasarkan kefahaman sendiri.
“Nabi Muhammad SAW dengan tegas mengingatkan: ‘Barang siapa menipu, maka dia bukan daripada golongan kami.” (Riwayat Muslim).
“Hadis ini bukan sahaja menolak penipuan dalam perniagaan atau muamalat, tetapi juga dalam setiap bentuk urusan yang melibatkan amanah, termasuk dalam bidang pendidikan,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Dalam pada itu, jelasnya, Islam tidak menolak kemajuan teknologi malah penggunaan AI adalah harus jika digunakan sebagai alat bantu dan bukannya sebagai pengganti usaha.
“AI adalah alat yang hebat tetapi tidak boleh menggantikan amanah ilmu dan nilai kejujuran yang menjadi tunjang dalam pendidikan.
Markah yang diperoleh hasil daripada penipuan sememangnya tidak membawa keberkatan walaupun secara zahirnya pelajar tersebut memperoleh keputusan yang baik.
“Hakikatnya ia tidak bernilai di sisi Allah SWT. Ilmu yang dibina di atas asas penipuan tidak akan memberi manfaat sebenar, malah boleh menjadi asbab hilangnya keberkatan rezeki.
“Ramai ilmuwan menekankan bahawa keberkatan ilmu terletak pada kejujuran dalam proses pembelajaran, bukan sekadar pada keputusan peperiksaan. Apabila seorang pelajar berani menipu untuk lulus, dia sebenarnya sedang menggadaikan integriti diri dan masa depannya,” ujarnya.
Menurutnya, pelajar boleh menggunakan AI untuk menyemak tatabahasa, mencari struktur penulisan, mendapatkan inspirasi idea atau merujuk maklumat awal, dengan syarat hasil akhir tetap mencermin pemikiran, kefahaman dan analisis sendiri.
“Dalam konteks akademik, pelajar juga wajar menyatakan penggunaan AI secara jujur, sebagaimana mereka memetik sumber lain. Ini bukan sahaja menjaga integriti, tetapi mendidik diri agar berdisiplin dalam etika ilmiah,” jelasnya.














