SEREMBAN — Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di kolam renang sebuah rumah kelab di Lenggeng semasa majlis penyampaian hadiah sebuah tadika kemas tengah hari tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa, Nur Dhiya Azzalea Noor Muhamad, dilaporkan sedang mandi bersama rakan-rakannya sebelum tiba-tiba hilang daripada penglihatan.
“Ibu mangsa kemudian menemui anaknya dalam keadaan tidak bergerak di dalam kolam. Orang awam di lokasi telah memberikan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut sebelum mangsa dibawa ambulans ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS),” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, mangsa tiba di Zon Merah Jabatan Kecemasan HTJS pada pukul 1.06 petang dan diberi rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas, Dr. Nuurul Huda Nik Pa.
Alzafny berkata, laporan awal kejadian telah dirujuk kepada bahagian siasatan jenayah pada pukul 3.32 petang untuk tindakan lanjut dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE














