SUNGAI merupakan asas utama kepada tamadun manusia yang bukan sahaja untuk membekalkan air minuman tetapi juga laluan pengangkutan, mengairi tanaman dan membekalkan sumber makanan.
Justeru, sungai menjadi aspek terpenting dalam perkembangan sejarah ketamadunan manusia.
Meskipun dunia sudah mencapai kemodenan tetapi kita semua memerlukan sungai untuk mendapatkan bekalan air demi terus hidup.
Namun, terdapat sejumlah kecil negara di dunia yang tidak mempunyai sungai dan mereka bergantung sumber air lain yang diproses menggunakan teknologi tinggi bagi membekalkan air minuman.
Minggu ini CitaRasa kongsikan lima negara yang sinonim sebagai tidak mempunyai sungai seperti dilapor Jagran Josh.
1. Arab Saudi
ARAB Saudi merupakan sebuah negara padang pasir yang besar dan menerima hujan yang sangat sedikit sepanjang tahun. Namun begitu, di negara ini tiada satu pun sungai sehingga memaksa orang ramai untuk bergantung kepada air bawah tanah dan loji penyahgaraman untuk mendapatkan air.
Arab Saudi telah membangunkan sistem termaju untuk merawat dan mengitar semula air.
Kebanyakan air minuman berasal dari laut dan dibuat segar menggunakan teknologi.
Oasis dan akuifer bawah tanah juga membantu memenuhi keperluan air. Arab Saudi berbelanja besar untuk pemuliharaan dan penyelidikan air. Kerajaannya juga menggalakkan penggunaan sumber yang berhemah.

2. Emiriyah Arab Bersatu (UAE)
SEBAGAIMANA Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) juga tidak dianugerahkan sungai. Ia tidak mempunyai sungai kekal, hanya lembah bermusim yang dipenuhi air ketika hujan. Kebanyakan tempat di negara ini dilitupi pasir dan batu. Sumber air di UAE berasal dari loji penyahgaraman dan sumber bawah tanah. Bandar seperti Dubai dan Abu Dhabi bergantung sepenuhnya air laut yang dirawat. Bagi memastikan negara mendapat bekalan air mencukupi, kerajaan UAE melabur dalam teknologi dan pemuliharaan baharu. Air kitar semula itu bukan saja untuk kegunaan seharian penduduk tetapi digunakan untuk taman dan ladang. Oleh itu, rakyatnya dididik untuk menggunakan air dengan cermat.

3. Malta
SETERUSNYA, Malta adalah sebuah kepulauan kecil di Laut Mediterranean. Ia tidak mempunyai sungai semula jadi. Bentuk muka bumi berbatu di pulau itu dan musim hujan yang singkat menghalang pembentukan sungai. Orang Malta mengumpul air hujan selain menggunakan air bawah tanah untuk minuman dan pertanian.
Negara ini juga telah membina loji penyahgaraman untuk meningkatkan bekalan air. Air laut dinyahgaram untuk kegunaan di rumah dan perniagaan. Malta bergantung kepada pengurusan dan penyimpanan yang teliti semasa musim kering.
Kerajaan Malta juga melabur dalam teknologi untuk memastikan air sentiasa tersedia untuk semua orang.

4. Monaco
SEBUAH lagi negara tanpa sungai adalah Monaco iaitu sebuah negara mikro kecil di French Riviera. Negara ini mempunyai perbandaran yang pesat dan meliputi keluasan kurang 2 kilometer persegi. Saiz negaranya yang kecil tidak cukup untuk menyokong sistem sungai berkembang.
Oleh itu, Monaco mendapatkan air dari Perancis melalui perjanjian bekalan. Negara itu menguruskan air dengan teknologi canggih dan menggalakkan pemuliharaan air serta mengehadkan pembaziran. Air laut digunakan untuk beberapa tujuan perindustrian.
Kerajaan Monaco turut melantik pegawai bagi memantau dengan teliti persekitaran tempatan dan memastikan penggunaan air dilakukan secara berhemah.

5. Vatican City
Vatican City merupakan sebuah lagi negara tanpa sungai. Ia turut tersenarai sebagai negara terkecil di dunia dengan keluasan 0.49 kilometer persegi. Biarpun diiktiraf sebagai sebuah negara, lokasinya terletak dalam bandar Rom, Itali. Tanahnya pula sangat minimum dan semuanya bandar, jadi tidak ada ruang untuk sungai. Vatican City mendapat bekalan air dari Itali. Negara itu mempunyai banyak air pancut dan ciri air tiruan hiasan. Kerajaan memastikan bekalan air tetap untuk penduduk dan pengunjung. Negara itu menggunakan paip moden dan mempercayai jirannya untuk mendapatkan sokongan bekalan air.














