KARNIVAL Ban Canal 2025 yang dianjurkan baru-baru ini bukan sekadar menghimpunkan penduduk setempat dengan aktiviti menarik, malah memperkenalkan salah satu sukan air semakin mendapat tempat di Malaysia iaitu stand up paddle (SUP) atau stand up paddling.
Berlangsung di Parit 14, Simpang Lima, Sabak Bernam, Selangor, acara SUP turut menampilkan bakat-bakat tempatan daripada pelbagai peringkat usia.
Menurut jurulatih Kelab SUP Kuala Lumpur, Tsuyoshi Sawada Amzar, SUP bukan sekadar aktiviti riadah di atas air, sebaliknya menjadi gaya hidup baharu bagi mereka yang mencari gabungan kecergasan, ketenangan dan hubungan dengan alam.
“Sukan ini boleh dilakukan di laut, tasik, sungai mahupun kolam tenang. Sukan ini juga mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur atau tahap kecergasan.
“SUP kini muncul sebagai salah satu sukan air paling pesat berkembang di seluruh dunia, termasuk di rantau Asia Tenggara.
“Sukan ini menggabungkan elemen keseimbangan, ketahanan fizikal dan ketenteraman minda,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa semasa Karnival Ban Canal 2025 baru-baru ini.
Dia yang mesra disapa Yoshi berkata, penganjuran Karnival Ban Canal telah membuka perspektif baharu kepada sukan yang juga boleh dianjurkan di kawasan seperti parit di sawah padi.
Berkongsi tentang sukan SUP, Yoshi yang juga jurulatih renang dan penyelamat memberitahu, kelebihan utama SUP adalah mudah dipelajari.
Kebanyakan pemula mampu berdiri dan berkayuh dalam masa kurang dari 30 minit dengan sedikit bimbingan asas.
Dari sudut peralatan, SUP menggunakan papan lebih besar dan stabil berbanding papan selaju, sekali gus menjadikannya sesuai untuk semua peringkat.

Terdapat dua jenis papan utama iaitu papan inflatable (tiup) yang mudah dibawa dan disimpan serta papan solid/epoxy dengan menawarkan prestasi lebih tinggi.
Dayung pula direka lebih ringan dan ergonomik untuk memberikan kayuhan efisien. Pemilihan papan bergantung pada gaya, berat individu dan keadaan air.
“Walaupun mudah dikuasai, namun SUP memerlukan pergerakan seluruh badan yang sangat efektif.
“Pergerakan mendayung mengaktifkan otot bahu, lengan, belakang dan teras badan.
“Manakala usaha mengekalkan keseimbangan melibatkan otot kaki serta koordinasi minda-motor.
“Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan stamina, malah membantu memperbaiki postur badan dan keseimbangan,” ujarnya.
Katanya lagi, kajian kecergasan turut menunjukkan bahawa sesi SUP selama satu jam membakar kalori setara dengan joging ringan.
Selain manfaat fizikal, SUP menawarkan kelebihan mental yang unik. Meluncur perlahan di atas permukaan air memberikan efek menenangkan, membantu mengurangkan stres dan meningkatkan fokus.
Di Malaysia, SUP semakin mendapat perhatian komuniti-komuniti aktif di lokasi popular apabila ramai pengusaha sukan air menawarkan pakej latihan asas, penyewaan peralatan dan program jelajah alam air (SUP touring).
“Dengan iklim tropika dan pelbagai destinasi air yang indah, Malaysia berpotensi menjadi hab SUP serantau dalam beberapa tahun akan datang.
“Acara-acara komuniti dan pertandingan kecil juga semakin kerap dianjurkan, sekali gus mengukuhkan lagi populariti sukan ini,” jelasnya.
















