PUTRAJAYA – Kerajaan sedia meneliti pembentukan Kod Etika Pempengaruh bagi media sosial seperti dicadangkan pakar dalam mengekang penyebaran pandangan tidak berasaskan kepakaran terutamanya dalam isu sensitif dan berimpak besar.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau juga bercadang menemui pakar berkenaan bagi memahami cadangan, rasional serta implikasi terhadap ekosistem komunikasi negara.
“Saya berhasrat untuk bertemu dengan pakar tersebut untuk cuba memahami dengan lebih lanjut (cadangan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA), di sini pada Jumaat.
Katanya, meskipun kerajaan ketika ini tidak mengenakan lesen atau kawal selia terhadap aktiviti pempengaruh, namun perkembangan terkini menimbulkan persoalan tentang standard pelaporan dan tanggungjawab sosial.
Beliau merujuk insiden semasa melibatkan inkues kematian pelajar Tingkatan Tiga, Zara Qairina Mahathir apabila media rasmi tidak dibenarkan membuat liputan sedangkan pempengaruh yang tidak mempunyai akreditasi, diberikan akses.
“Jadi, kita akan teliti. Saya akan jemput pakar tersebut untuk adakan sedikit perbincangan untuk cuba faham sudut pandang beliau,” jelasnya.
Sebelum ini, Pakar Perang Saraf serta Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr.
Noor Nirwandy Mat Noordin menyifatkan kerajaan perlu membentuk Kod Etika Pempengaruh sebagai langkah awal mengekang penyebaran pandangan tidak berasaskan kepakaran.
Dalam konteks ini, peningkatan pengulas tidak bertauliah dalam topik seperti kesihatan, kewangan, undang-undang dan pendidikan perlu dipandang serius kerana berpotensi membentuk persepsi awam secara tidak tepat.
Fenomena itu katanya dilihat menjadi cabaran kepada ekosistem media sosial negara kerana ia membentuk corak pemikiran masyarakat dan peradaban komunikasi masa depan. – KOSMO! ONLINE














