JASIN – Seorang pelajar lelaki Politeknik Merlimau ditemui maut di rumah sewanya di Taman Merlimau Emas, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Zul Hakimi Abdul Rahman, 19, ditemui rakan serumahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan bilik tidur.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, maklumat berhubung kejadian diterima daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Sungai Rambai yang membuat panggilan ke Balai Polis Merlimau.
“Mangsa merupakan pelajar tahun ketiga dalam Diploma Elektrikal dan menyewa di rumah tersebut bersama 13 penghuni lain.
“Rakan serumah telah menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan menghubungi talian NG999 untuk mendapatkan bantuan awal paramedik,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, hari ini.
Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat.
“Siasatan awal pada tubuh badan mangsa tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Difahamkan mangsa tidak mempunyai apa-apa sejarah penyakit,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














