CHONBURI – Skuad bola sepak wanita Thailand menerima ‘durian runtuh’ berjumlah 500,000 Baht (RM64,260) selepas kejayaan membelasah Indonesia 8-0 dalam aksi pembukaan Sukan SEA 2025, kelmarin.
Insentif tersebut diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam atau mesra dengan panggilan Madam Pang yang menyerahkan ganjaran lumayan itu sebagai suntikan semangat.
Lebih manis, jumlah bonus itu menyamai apa yang bakal diterima skuad lelaki Thailand jika memenangi perlawanan sebagai pemangkin semangat untuk merangkul pingat emas dalam acara itu di laman sendiri.
Ketua jurulatih skuad wanita Thailand, Nuengrutai Srathongvian menyifatkan sokongan padu pihak pengurusan tertinggi itu hadir tepat pada masanya dalam misi mereka menamatkan kemarau pingat emas sejak 2013.
“Terima kasih Madam Pang yang menelefon untuk memberikan kata-kata semangat dan bonus ini. Jumlah 500,000 Baht ini sama seperti yang diberikan kepada pasukan lelaki,” katanya.
Kemenangan besar di Stadium Chonburi itu meletakkan Thailand di landasan selesa ke separuh akhir sebelum menutup aksi Kumpulan A menentang Singapura, 10 Disember ini. – AGENSI














