SKUAD bawah 23 (B-23) negara bukan sahaja terdesak untuk memulakan temasya Sukan SEA 2025 dengan langkah kanan, malah memburu ‘tsunami’ gol menjelang aksi pertama Kumpulan B menentang Laos di Stadium Rajamangala, Bangkok, hari ini.
Kemenangan besar diperlukan oleh skuad negara sebagai persediaan sekiranya gagal meraih kemenangan pada aksi kedua yang dianggap mencabar apabila perlu menentang Vietnam.
Jumlah jaringan besar itu sekurang-kurangnya mampu menjadi cagaran buat skuad negara untuk layak ke separuh akhir dengan satu slot naib juara terbaik.
Skuad negara pernah bertemu Laos pada aksi pertama Kumpulan B temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja dan berjaya melakar kemenangan besar 5-1 dan pastinya mahu mengulangi tuah yang sama pada edisi kali ini.
Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad muda Harimau Malaya, Nafuzi Zain berharap pasukannya sudah belajar daripada kesilapan apabila gagal mendapatkan keputusan positif pada Piala ASEAN B-23 2025 dan kelayakan Piala Asia B-23 2026, sebelum ini.
Menurut Nafuzi, kesilapan yang sama tidak boleh diulangi kerana hanya tiga mata boleh mencerahkan peluang buat pasukan untuk layak ke peringkat separuh akhir sekali gus mencerahkan peluang menamatkan kemarau 14 tahun dengan mendakap ‘ibu segala pingat’.
“Dalam dua kejohanan sebelum ini, kita terkandas disebabkan kekalahan dalam perlawanan pertama. Saya rasa perlawanan pertama adalah perlawanan penting untuk mendapatkan tiga mata bagi membuka peluang layak ke pusingan seterusnya.
“Saya faham betapa besarnya temasya ini dengan penantian peminat serta harapan tinggi untuk mendapatkan pingat emas tetapi buat masa ini kita kena fokus untuk mara ke separuh akhir dulu,” kata Nafuzi.
Temasya dwitahunan berprestij Asia Tenggara ini boleh dianggap sebagai ‘talian hayat’ terakhir Nafuzi selepas dikritik hebat gagal menjelmakan kejayaan sejak dilantik menjadi pengendali skuad B-23 pada awal tahun ini.
Sementara itu, pertahanan skuad B-23 negara, Muhammad Alif Ahmad turut senada dengan Nafuzi kerana pasukan sememangnya memasang impian untuk menghadiahkan ibu segala pingat buat kontinjen negara dalam Sukan SEA Thailand 2025.
Namun, dia memberi amaran kepada pasukan supaya tidak memandang rendah kepada Laos yang hanya tewas tipis 1-2 kepada negara pilihan, Vietnam pada aksi pembukaan kelmarin.
“Berdasarkan perlawanan mereka dan Vietnam semalam (kelmarin), saya percaya kami mampu bersaing dan sudah bersedia dari segi taktikal.
“Secara peribadi, saya sasarkan untuk muncul juara, tapi kami perlu menang secara berperingkat, bermula di peringkat kumpulan. Apa yang penting, kita kena yakin dengan kelebihan dan (barisan) pemain yang ada,” katanya.














