CYBERJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu siasatan terhadap kes tembak mati penjenayah oleh polis di Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini disiasat secara telus tanpa melindungi sesiapa pun.
Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail supaya menyiasat kes itu secara terbuka.
Beliau berkata, kerajaan kerajaan tidak melindungi penjenayah tetapi juga tidak melindungi tindakan-tindakan oleh polis yang bertentangan proses undang-undang.
“Kita mengalu-alukan ketegasan polis untuk bertindak terhadap penjenayah, namun pada sama menggesa supaya beberapa aduan tentang hal bercanggah proses dan prosedur undang-undang itu disiasat secara teratur.
“Dalam tempoh terdekat ini, saya minta Ketua Polis Negara menyampaikan laporan terperinci, telus, terbuka dan profesional kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Cyberjaya 10, di sini hari ini.
Katanya, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet, hari ini.
Anwar berkata, beliau tidak akan mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun, hal-hal yang bercanggah dengan prosedur perlu disiasat secara terbuka dan telus.
“Umpamanya, kematian dalam tahanan ataupun soal penembakan. Saya tidak campur dalam urusan bagaimana harus dilaksanakan.
“Tetapi, saya juga gusar sekiranya dianggap beberapa peraturan tidak ada patut,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan,
MIC dan Majlis Peguam Malaysia (Majlis Peguam) menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat secara menyeluruh kejadian tiga suspek ditembak mati selepas mencederakan polis di Durian Tunggal, Melaka, pada 24 November lalu.
Gesaan itu dibuat oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Presiden Majlis Peguam, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab, dalam kenyataan berasingan. – KOSMO! ONLINE














