fbpx
Naran ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Keluarga Syamsul Haris mahu laporan bedah siasat, nota keterangan diserahkan hospital sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Peguam keluarga pegawai kadet Palapes pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris memohon Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan supaya Pengarah Hospital Kota Tinggi menyerahkan laporan bedah siasat pertama dan nota keterangan bilik kecemasan hospital itu.

Menurut Peguam Datuk Naran Singh, permohonan dibuat kepada Mahkamah Tinggi supaya penyerahan dokumen tersebut dilakukan pihak hospital sendiri dan bukan melalui pihak ketiga.

Beliau bagaimanapun, mengakui telah menerima satu salinan laporan bedah siasat pada pukul 10.40 malam tadi daripada pegawai penyiasat polis.

“Ya, dokumen yang saya terima itu salinan diakui sah, tetapi ia datang daripada polis. Permohonan saya di mahkamah adalah untuk mengarahkan Pengarah Hospital memberikan sendiri laporan berkenaan. Kenapa hospital tidak mahu beri? Apa kepentingannya?,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di pekarangan mahkamah hari ini.

Naran berkata, pihaknya sudah menghantar sekurang-kurangnya empat surat kepada Hospital Kota Tinggi namun tidak pernah menerima sebarang maklum balas.

Ini seterusnya menyebabkan mereka membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa laporan berkenaan penting bagi meneliti kemungkinan wujud percanggahan antara bedah siasat pertama dan kedua, termasuk dapatan mengenai kecederaan di leher yang tersenarai dalam laporan kedua.

“Semalam saya terima laporan yang menyatakan arwah meninggal dunia akibat pneumonia. Itu bercanggah dengan laporan kedua sebelum ini.

“Bagi saya, apabila dibawa ke bilik kecemasan adalah penting. Adalah sesuatu yang saya hendak lihat” katanya.

Naran menambah, permohonan sebgitu penting bagi memudahkan orang lain membuat permohonan sekiranya dapat bantahan pada masa depan.

Ketika ditanya apa alasan tidak diberikan oleh pihak hospital berkenaan, beliau memaklumkan ia tidak pernah dibalas oleh pihak hospital.

“Tidak jawab. Saya hantar surat Menteri
Kesihatan, Pengarah Hospital dan Doktor berkenaan. Mungkin takut dedahkan sesuatu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau beliau berharap orang yang terlibat dalam kes itu perlu didakwa dengan kadar segera di mahkamah selepas dapatan laporan bedah siasat kedua yang mengklasifikannya sebagai kes bunuh.

“Harapan saya dan ibu arwah cuma satu iaitu siapa bunuh? Itu jawapan yang kami hendak secepat mungkin. Orang yang terlibat perlu diheret ke muka pengadilan,” jelasnya.

Terdahulu, pada prosiding mahkamah hari ini, Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menetapkan 12 Disember depan sebagai sebutan semula bagi pengurusan permohonan itu.

Ini selepas pihak pendakwaan sebagai responden yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon seminggu bagi mendapatkan arahan Peguam Negara sama ada dokumen yang dimohon boleh dibekalkan oleh pihak hospital. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI