SHAH ALAM- Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan rasuah melibatkan penyewaan rumah di Mahkamah Sesyen, hari ini.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
“Mengaku tidak bersalah, mohon bicara,” kata mereka.
Berdasarkan pertuduhan, Shamsul Iskandar, 51, sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang berjumlah RM64,920 daripada Tei Jiann Cheing (Albert Tei) bagi tujuan pembayaran sewa sebuah unit rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur.
Albert, 37, pula didakwa telah memberi suapan wang berkenaan kepada Shamsul Iskandar bagi tujuan tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Country Heights antara 28 November 2023 dan 23 September 2024.
Pemberian dan penerimaan suapan itu sebagai dorongan untuk menbantu syarikat yang ada kepentingan dengan Albert untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Shamsul didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala Albert pula disiasat di bawah Seksyen 17(b) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan dan Nurul Qistini Qamarul Abrar memohon mahkamah mengguna pakai terma dan syarat jaminan sama kepada Shamsul dan Albert yang telah dikenakan pada sesi pendakwaan mereka di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.
“Kami juga memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur supaya kesemua kes terbabit dibicarakan sekali secara serentak,” katanya.
Shamsul diwakili peguam Datuk Amer Hamzah dan Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff manakala Albert pula diwakili Mahajoth Singh, Amanda Mathew, Reenajit Kaur Golen, Eric Paulsen dan Rajesh Nagarajan tidak membantah permohonan itu L.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan berkenaan.
Kosmo! semalam melaporkan Shamsul Iskandar dan Albert Tei mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah lebih RM176,000.
Mereka kemudiannya dibenarkan ikat jamin diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan. – KOSMO! ONLINE














