PETALING JAYA – Di sebalik reputasinya sebagai seorang pemimpin politik berwatak tegas dan lantang bersuara, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin rupa-rupanya seorang pemurah, terutamanya kepada mereka yang pernah berdepan dengannya secara langsung.
Selepas berita pemergiannya awal pagi tadi, satu demi satu pengalaman peribadi orang ramai mula dikongsi di media sosial, mendedahkan watak sebenar Allahyarham yang jauh berbeza daripada persepsi umum.
Seorang petugas kesihatan yang menggunakan akaun TikTok @amirrmokoo berkongsi pengalaman ketika menjaga Allahyarham semasa menerima rawatan di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur.
Menurutnya, sepanjang berada di hospital, Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu bukan sahaja tenang, malah menghabiskan banyak masa dengan mengaji al-Quran dan menunaikan solat sunat.
“Sumpah tak sangka dia selama stay dalam bilik, dia kuat mengaji al-Quran dan solat sunat. Saya pernah tegur dia dan cakap, ‘Datuk’, rupanya warak juga ya’.
“Masa tu dia gelak saja dan kata tak apa, orang luar ramai bilang dia jahat tapi berbeza sungguh apa yang saya nampak depan mata,” katanya.
Tambah petugas itu, Allahyarham turut dikenali sebagai seorang yang pemurah, malah sering membelikan makanan kepada petugas yang menjaganya sepanjang berada di hospital.
“Terima kasih Datuk selalu belanja kami makan sepanjang Datuk ‘admit’ dulu di Prince Court. Innalillah, semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna media sosial, Bull Shidoo mendedahkan dia pernah berjumpa Allahyarham di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2021 ketika sedang berdepan kesempitan kewangan untuk membayar yuran pengajiannya.
“Aku kebetulan terserempak arwah di KLIA masa dia nak ‘fly’ balik Sabah. Masa tu aku tak cukup duit nak bayar yuran semester akhir. Aku tebalkan muka ‘approach’ dia, minta sikit duit tambah bayar yuran pengajian.
“Dia bagi on the spot (terus), siap pesan belajar baik-baik. Dia bagi nombor telefon dia. Alhamdulillah aku grad PhD (ijazah Doktor Falsafah) aku,” katanya.
Sementara itu, pengguna, Hidayu berkata, orang ramai mungkin menilai Allahyarham daripada sudut politik semata-mata, namun hakikat amal ibadah seseorang hanya diketahui oleh Allah SWT.
“Semoga arwah Datuk Seri Bung Moktar ditempatkan bersama orang-orang yang diterima amalan ibadahnya,” tulisnya.
Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Ketua UMNO Sabah meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu di Sabah.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas selepas solat Jumaat hari ini. – KOSMO! ONLINE














