KOTA KINABALU – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, disahkan meninggal dunia sebentar tadi.
Anak Allahyarham, Naim Moktar memaklumkan pemergian bapanya menerusi hantaran di laman Facebook kira-kira pukul 2 pagi.
”Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin telah menghembuskan nafas terakhir pada 5 Disember 2025, pukul 1.46 pagi.
Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Isteri Allahyarham, Zizie Ezette turut berkongsi berita duka pemergian Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan di Instagramnya.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di Hospital Gleneagles di sini mendapati ahli keluarga dan sahabat Allahyarham bersedih atas pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag tersebut.
Turut kelihatan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Seri Suhaimi Nasir dan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin. Difahamkan, jenazah akan dibawa ke rumah keluarganya di Luyang. – KOSMO! ONLINE














