KAJANG – Seramai 85 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil dan SMK Dusun Nanding, di sini, yang terjejas banjir berjaya dibawa ke dewan peperiksaan dengan bantuan pelbagai agensi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian banjir di Hulu Langat melibatkan Batu 20, Batu 18 Dusun Tua dan Batu 14, kira-kira pukul 6.18 pagi.
Menurutnya, limpahan air sungai menyebabkan beberapa jalan tidak boleh dilalui sehingga laluan utama termasuk Jalan Tekali, Corner Wong, Kolam Air Panas serta hadapan Institut Kemahiran Belia Negara Dusun Tua.
“Seramai 349 mangsa daripada 87 keluarga dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding manakala 99 lagi mangsa dibawa ken Sekolah Kebangsaan Sungai Serai.
“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, semua laluan yang terputus hubungan sudah boleh dilalui oleh kenderaan,” ujarnya.
Namun, beliau berkata, meskipun keadaan air mulai surut, semua agensi masih berada dalam keadaan siap sedia dan menasihatkan penduduk untuk mematuhi arahan pihak berkuasa terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
Tambahnya, sekiranya orang ramai memerlukan sebarang bantuan dan maklumat boleh berhubung dengan Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang ditalian 03-89114244 dan 03-89114222. – KOSMO! ONLINE














