fbpx
ZAFRUL

BAM sasar empat pingat emas Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) optimis skuad badminton negara mampu membawa pulang empat daripada tujuh pingat emas ditawarkan pada temasya Sukan SEA Thailand 2025.

Mempertaruhkan barisan terkuat pada edisi kali ini termasuk juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, badan induk sukan badminton itu menjelaskan, sasaran dibuat secara bersama.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sasaran itu sudah pun dipersetujui barisan kejurulatihan selain menganggap ia juga bukan tugas mudah kerana perlu berdepan cabaran sukar daripada pasukan lain.

“Sasaran kita adalah tujuh pingat untuk sukan badminton. Sasaran pingat emas pula adalah empat dan kita akan memberikan sepenuh fokus terhadap usaha untuk mendapatkan pingat emas.

“Kita sudah berbincang dengan menteri serta pihak pengurusan dengan barisan kejurulatihan juga bersetuju (hantar skuad terkuat). Ini keputusan yang dibuat secara bersama,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad Sukan SEA di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Acara yang dianggap memiliki potensi untuk menyumbangkan pingat emas buat kontinjen negara termasuk beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Tang Jie-Ee Wei (beregu campuran) dan berpasukan lelaki.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas dalam sukan badminton pada edisi Hanoi 2021 di Vietnam menerusi beregu campuran, Tang Jie-Peck Yen Wei.

Pengarah Kejurulatihan Beregu ABM, Rexy Mainaky percaya sasaran empat pingat emas adalah realistik berdasarkan senarai pemain dibawa selain perubahan pasukan Indonesia.

“Saya optimis dan boleh katakan empat pingat emas itu adalah realistik. Pada awalnya, kita tidak meletakkan sasaran pingat emas untuk berpasukan (lelaki) tetapi ia berubah selepas Indonesia umum senarai pemain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI