LEEDS – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca mengakui berang dengan prestasi anak-anak buahnya selepas tewas kali pertama dalam lapan perlawanan apabila dikejutkan Leeds United 1-3 di Stadium Elland Road, awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, skuad The Blues gagal mengekalkan rentak cemerlang apabila tuan rumah berjaya meraih gol menerusi Jaka Bijol, Ao Tanaka dan Dominic Calvert-Lewin sebelum mendapat jaringan saguhati hasil penyudah Pedro Neto.
Kata Maresca, semua pemain perlu memikul tanggungjawab atas kekalahan ini selepas tampil mengecewakan dengan beraksi di bawah tahap sebenar.
“Tiada seorang pun bermain pada tahap terbaik dan pasukan tuan rumah lebih bagus dalam semua aspek, mereka memang layak menang.
“Secara peribadi, ini adalah malam yang sangat mengecewakan. Kami beraksi begitu baik menentang Arsenal dan Barcelona, tetapi itu bukan jaminan anda akan sentiasa bermain pada tahap sama dan mungkin pasukan agak kepenatan,” katanya.
Sementara itu, Maresca mengakui ketiadaan pemain tengah, Moises Caicedo yang dilayangkan kad merah ketika bertemu Arsenal minggu lalu menjadi punca pasukannya agak ‘lemau’ pada aksi kali ini.
“Kami rindukan kelibat Caicedo pada aksi kali ini dan akan merindukannya untuk dua perlawanan seterusnya (menentang Bournemouth dan Everton). Dia pemain yang penting dan boleh berikan impak buat mana-mana pasukan di dunia,” katanya. – AGENSI














