KUALA TERENGGANU – Seorang buruh binaan yang disyaki ‘pusher’ diberkas polis bersama bekalan dadah di tepi Jalan Kampung Pulau Manis – Telemong, Manir di sini semalam.
Lelaki berusia 45 tahun tersebut ditahan bersama dadah dipercayai heroin dan pil yaba pada pukul 2 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, suspek yang sedang menunggang motosikal Yamaha FZ150 dalam keadaan mencurigakan telah ditahan sepasukan anggota polis di tepi jalan berkenaan.
“Pemeriksaan pada beg berwarna coklat dipakai suspek telah menemukan lima botol mengandungi serbuk putih disyaki heroin seberat kira-kira 32.79 gram. Selain itu, sembilan paket plastik mengandungi pil berwarna merah disyaki pil yaba seberat kira-kira 12.9 gram juga dijumpai,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, soal siasat awal mendapati buruh binaan tersebut mengaku memperolehi bekalan dadah berkenaan daripada seorang pengedar tempatan untuk dijual.
Beliau berkata, semakan juga mendapati suspek yang positif dadah jenis mop memiliki 17 rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang tersebut.
“Bekalan dadah berjumlah keseluruhan RM3,727 dirampas. Sitaan turut melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha FZ150 bernilai RM5,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE














