fbpx
Gambar hiasan.

Tembak Durian Tunggal: Bukit Aman tubuh pasukan khas, ambil alih siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Satu pasukan khas ditubuhkan di peringkat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi mengambil alih sepenuhnya siasatan berhubung kejadian tiga suspek yang ditembak mati selepas mencederakan polis di Durian Tunggal, Melaka, bulan lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tindakan itu termasuk menyiasat laporan polis yang dibuat ahli keluarga ketiga-tiga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak polis dalam insiden berkenaan.

Menurut beliau, siasatan awal kejadian pada 24 November lalu telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan oleh JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka sebelum kes itu kini diambil alih Bukit Aman sepenuhnya.

“JSJ Bukit Aman memandang serius perkara ini disamping memberi jaminan bahawa siasatan secara telus, adil dan profesional berdasarkan undang-undang sedia ada bagi memastikan keadilan ditegakkan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau memanipulasi fakta yang berpotensi memggangu atau menjejaskan integriti siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau turut memaklumkan, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi hotline JSJ Bukit Aman di talian 019-376 4763.

Pada 24 November lalu Kosmo! melaporkan, tiga penyamun ditembak mati oleh sepasukan polis selepas menetak seorang anggota polis berpangkat koperal yang cuba menahan kumpulan dikehendaki itu berhampiran ladang sawit di Durian Tunggal.

Kumpulan digelar ‘Geng DT’ itu terdiri daripada dua lelaki berusia 24 tahun dan seorang lagi berusia 29 tahun.

Mereka dipercayai terbabit dalam 20 kes pecah rumah dan bangunan sejak tahun 2024 dengan kerugian mencecah RM1.3 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN