KUCHING – Kerajaan Sarawak memberikan Bantuan Khas Kewangan 9BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada seluruh anggota perkhidmatan awam Sarawak, mengikut gaji pokok terakhir bulan November lalu.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemberian bonus itu mengambil kira kenaikan gaji fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak tujuh peratus pada 1 Januari 2026.
“Pembayaran BKK ini akan dibuat pada bulan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM131 juta, manakala kenaikan gaji SSPA melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM56 juta,” katanya ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Selain itu, katanya, semua anggota perkhidmatan awam persekutuan yang berkhidmat di Sarawak sepanjang tahun 2025 akan menerima sebanyak RM700 secara one-off pada suku pertama tahun depan, melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM98 juta.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata sebagai menghargai jasa dan sumbangan para pesara perkhidmatan awam Sarawak, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga bersetuju memberi bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM500 seorang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM50 juta.
Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan GPS akan memberi insentif berjumlah RM700 secara one-off kepada pengamal media swasta yang berdaftar setakat 1 Disember 2025 dengan enam persatuan media di Sarawak, sebagai tanda penghargaan ke atas sumbangan mereka. – KOSMO! ONLINE














