fbpx
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) bergambar bersama atlet Sukan SEA dan Para ASEAN pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia di MSN Bukit Jalil semalam.

Sasaran 200 pingat jadi keutamaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KONTINJEN Malaysia mengambil langkah selamat mengenai penetapan sasaran pingat emas dengan hanya mendedahkan mahu membawa pulang 200 pingat secara keseluruhan pada Sukan SEA ke-33 di Thailand yang berlangsung dari sembilan hingga 20 Disember ini nanti.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA, Nurul Huda Abdullah menjelaskan bahawa jumlah tersebut diputuskan hasil daripada bengkel penetapan sasaran yang diadakan bersama semua persatuan sukan kebangsaan pada 29 November lalu.

Menurut beliau, angka 200 pingat itu disifatkan sebagai satu sasaran yang realistik dan mampu digalas oleh kontinjen negara berdasarkan data prestasi lalu serta prestasi semasa atlet.

“Berdasarkan data prestasi lalu dan juga prestasi semasa pasukan, kami telah menetapkan sasaran sebanyak 200 pingat secara keseluruhan.

“Ini adalah angka yang realistik dan satu yang kami bertanggungjawab ke atasnya. Kami berharap atlet kami akan kekal fokus dan konsisten semasa temasya untuk membawa pulang seberapa banyak pingat yang mampu,” katanya dalam sidang media penyerahan Jalur Gemilang, di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Mengenai spekulasi sasaran 70 pingat emas mampu dicapai di Thailand, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin mengambil pendekatan selamat dengan menegaskan fokus utama adalah mencapai jumlah keseluruhan 200 pingat tersebut terlebih dahulu.

Beliau mengingatkan bahawa faktor kelebihan tuan rumah perlu diambil kira, memandangkan Thailand sendiri menyasarkan dominasi besar dengan membolot 241 emas daripada 50 acara dipertandingkan pada temasya dwitahunan tersebut.

“Jika Thailand menyasarkan lebih 200 pingat emas daripada 500 lebih pingat emas, separuh daripada pingat emas akan dimenangi oleh tuan rumah. Jadi kita perlu lihat kepada aspek itu juga.

“Bagaimanapun, kita rasa kita mampu berada di kedudukan lima terbaik dengan pertambahan acara yang menjadi kekuatan kita seperti skuasy, tenpin boling dan berbasikal trek berbanding edisi lalu di Kemboja,” jelas Jefri.

Sukan SEA kali ini menyaksikan Malaysia menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah dengan jumlah 1,657 orang, terdiri daripada 1,142 atlet dan 515 pegawai yang akan mengambil bahagian dalam 459 acara daripada 50 jenis sukan yang dipertandingkan di bumi gajah perang tersebut.

Dalam perkembangan sama, Nurul Huda turut mengumumkan jaguh lompat kijang negara, Andre Anura Anuar dan jaguh ski air, Aaliyah Yoong Hanifah dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan nanti.

Temasya Sukan SEA ke-33 dijadualkan berlangsung bermula 9 hingga 20 Disember ini dengan tumpuan lokasi pertandingan di Bangkok dan Chonburi selepas venue pertandingan di Songkhla terpaksa dibatalkan akibat bencana banjir.

Sebagai rekod, pada Sukan SEA Kemboja 2023, kontinjen negara yang membawa 677 atlet berjaya menamatkan saingan di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa dengan jumlah keseluruhan 175 pingat keseluruhan), pencapaian yang dianggap terburuk dalam sejarah penyertaan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI