ABU DHABI – Red Bull seakan-akan menemui ‘jelmaan’ Max Verstappen apabila pasukan satelitnya, Racing Bulls menyambar khidmat remaja sensasi, Arvid Lindblad sebagai pelumba baharu mereka musim depan.
Langkah berani itu mengimbau kembali tindakan Red Bull membawa masuk Verstappen ke kancah Formula Satu (F1) seawal usia 17 tahun pada 2015 dan kini mereka percaya Lindblad memiliki kualiti setanding juara dunia empat kali itu.
Plumba kelahiran Britain yang genap usia 18 tahun pada 8 Ogos lalu itu bakal melakar sejarah antara pemandu termuda F1 membuat penampilan sulung di Grand Prix (GP) Australia, 8 Mac depan.
Hanya Verstappen, Lance Stroll dan Kimi Antonelli memulakan karier di pentas tertinggi itu pada usia lebih muda berbanding Lindblad.
Bakat luar biasanya memaksa badan induk F1 memberikan pelepasan lesen super khas buat dirinya pada usia 17 tahun walaupun peraturan had umur telah diketatkan susulan kemasukan Verstappen ke Toro Rosso (kini Racing Bulls) sedekad lalu.
Prinsipal Racing Bulls, Alan Permane menyifatkan peningkatan mendadak Lindblad sebagai bukti kualiti yang dimilikinya.
“Peningkatan pantas Arvid menandakan beliau sebagai salah seorang bakat muda paling menonjol dalam sukan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Lindblad akan bergandingan dengan pelumba New Zealand, Liam Lawson bagi melengkapkan barisan pemandu Racing Bulls.
“Sejak memulakan perjalanan ini pada usia lima tahun, matlamat saya sentiasa mahu berada di F1. Jadi, ini adalah detik yang cukup membanggakan untuk melangkah ke fasa seterusnya.
“Saya tidak sabar untuk bermula, ia pasti akan menjadi tahun yang mengujakan,” kata Lindblad yang kini menghuni tangga keenam Formula Dua (F2) dengan berbaki satu pusingan. – AGENSI














