BEKAS pengendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee hanya menunggu masa untuk diumumkan sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang baharu.
Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh sudah pun mengesahkan yang mantan jurulatih Sabah, Persis Solo dan Persik Kediri itu sebagai calon yang dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
“Isu teknikal semuanya diputuskan oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), manakala MSN (Majlis Sukan Negara) akan memantau keseluruhan pelaksanaan. Jadi, hasrat itu memang ada dan saya tahu Jawatankuasa (JK) Teknikal telah buat keputusan dan saya akan melihat isu inilah.
“Jawatankuasa Teknikal yang akan buat pemilihan. Semua itu ada dalam bajet NFDP, tetapi akan diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal,” katanya.
Sebelum ini, Kim Swee enggan mendedahkan secara rasmi destinasi baharu kariernya demi menghormati semua pihak dan harap peminat bola sepak tanah air untuk bersabar dengan keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Hannah juga menjelaskan cadangan untuk melantik Kim Swee itu sebagai perkembangan baik bagi memberikan ruang lebih luas kepada jurulatih tempatan untuk menabur khidmat dalam arena bola sepak tempatan.
“Saya lihat ia satu perkara yang baik kerana kita mahu lebih ramai jurulatih tempatan diberi peluang,” katanya yang mengesahkan NFDP akan kekal di bawah seliaa MSN ekoran krisis yang sedang melanda FAM.
Berdasarkan pencapaian lepas, Kim Swee dilabel sebagai individu tepat untuk membangunkan pemain muda dan turut memiliki rekod baik termasuk dengan memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta.














